Sunday 17 July 2011

OBJEK JUMPAAN DALAM SENI VISUAL



 Kesan pembangunan ekonomi dan kebudayaan di seluruh dunia meningkatkan taraf hidup sosial sesuatu masyarakat. Wujud pelbagai kesan dan impak terhadap persekitaran bila pembangunan ekonomi di selaraskan ke taraf negara maju. Laungan kempen “Recycle” atau guna semula telah lama dipraktiskan di negara maju dan negara yang sedang membangun termasuk Malaysia. Sebagai tidak membazirkan lebihan sampah yang masih boleh di guna pakai atau di kitar semula, pertumbuhan pesat industri kecil yang mengusahakan produk kitar semula atau perusahaan kitar semula sebagai membantu usaha kerajaan.

Seniman seni visual juga tidak terlepas dalam membantu menghasilkan produk atau pun karya seni daripada sampah sarap ini. Objek jumpaan (found object) merupakan bahan mentah hasil pembuangan sampah sarap bukan domestik yang digunapakai oleh penggamal seni samaada di Malaysia dan luar Negara.
Objek jumpaan (Found Object ) telah digunakan oleh seniman sejak abad ke- 20. Sebagai konsekuensi dari pemikiran inovatif oleh Kurt Schwitters, Pablo Picasso, Marcel Duchamp, Robert Rauschenberg dan lain-lain. Konsep objek jumpaan menjadi saksi sejarah seni visual yang menjadi satu media perdana di Eropah dan Amerika sebagai ekspresi artistik. Objek jumpaan ini juga turut menarik seniman kontemporari seperti Carl Andre, Tony Cragg, Bill Woodrow, Sarah Lucas, Michael Landy,Vik Muniz,  Damiens Hirst, Tracey Emin (sekadar menyebut beberapa nama sahaja) menghasilkan karya.
Selain Marcel Duchamp dengan karya agungnya “ Fountain” 1917  sebuah objek jumpaan atau “ready made”(ceramic urinal) yang memberi pengertian baru oleh seniman Dadaism ini. 
Robert Rauschenberg juga seorang seniman perintis bergaya baru awal tahun 50an. Istilah seni “ Combines” dengan cantuman pelbagai pendekatan teknik seperti catan, lukisan, cetakan, foto, video, bunyi, kolaj dan assemblaj di kombinasikan dengan sempurna menjadi hasil karya yang meliputi makna-makna kehidupan bagi pelukis.
Seniman di Malaysia juga terkesan menggunakan objek jumpaan seawal 1960an. Jika di lihat perkembangan seni lukis di Malaysia, telah melahirkan ramai di antara penggamal seni visual yang terdorong untuk menggunakan objek jumpaan ini sebagai sebahagian daripada karya. Berkemungkinan ianya juga, adalah didikan daripada instituisi pendidikan seni yang memberi ruang kebebasan berkarya dalam memilih bahan sebagai karya akhir. Subjek bahan campuran yang tidak konvensional memberikan mereka berekplorasi bersama bahan baru atau objek jumpaan. Penerokaan bahan baru di dalam karya mahupun penerimaan yang baik di dalam pertandingan seni seperti Bakat Muda Sezaman, Philip Morris, Salon Malaysia ataupun pertandingan di peringkat negeri. Karya seni yang menggunakan bahan campuran ini mula mendapat tempat di kalangan penggamal seni visual sebagai metode baru. 

Antara seniman Malaysia yang begitu lantang melaungkan konsep objek sebagai karya seni adalah Allahyarham Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa dengan keberanian Manifesto Towards a Mystical Reality (1974). Duo ini telah memberi impak besar dalam perkembangan seni lukis moden Malaysia sehingga mencetuskan perdebatan sezaman. Objek jumpaan seperti pasu bunga, dua botol Coca Cola, baju hujan, rambut manusia, sangkar burung, kerusi, tin cat dan palet, kanvas kosong, bekas dan abu ubat nyamuk.

Pertandingan seni visual juga sebagai satu peluang bagi seniman bereksperimatasi dan mencari peluang untuk menghasilkan karya menggunakan objek jumpaan. Pertandingan dan Pameran Manusia dan Alamnya (1973) yang di anjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara telah menyaksikan seniman menggunakan objek jumpaan sebagai subjek dan bahan. Karya “ Man and His World”  oleh Sulaiman Esa dan karya “Statement 1 “oleh Nirmala Shamughalingam telah berjaya memenangi beberapa hadiah utama dan hadiah kecil.
Karya Sulaiman EsaMan and His World” 1972-73 merupakan karya konseptual yang mencipta sejarahnya sendiri. Persoalan tentang siapa Sulaiman mampu di ungkap daripada dapatan memahami setiap bahan sisa buangan urban (found object) seperti tiket bas, surat, nota, buku, sijil akademik, sijil kelahiran, passport, foto, sejadah, baju,tali leher dan kasut yang dihimpunkan menjadi sebuah karya ‘self portrait’ yang bukan konvensional. Setiap bahan memberi pelbagai makna dalam kehidupan Sulaiman yang mengheret masyarakat memahami konflik identiti dan spiritual.  Setiap objek ini boleh diperluaskan makna nya oleh penyelidik melalui kajian akedemik jika dilihat dari pelbagai perspektif.  

Nirmala Shanmughalingam pula membina sebuah karya bersifat konseptual dimana merekod dan mendokumentasikan pencemaran alam sekitar dengan lensa kemera dan keratan surat khabar yang memaparkan kesan dan lokasi pencemaran. Sampah telah menjadi subjek didalam menyampaikan komentar sosial melalui seni visual.


Selain mereka, Suhaimi Fadzir, Ahmad Shukri Mohamed, Noor Azizan Rahman Paiman, Raja Shahriman, Vong Nyam Chee (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi.  


Suhaimi Fadzir Banana Republic 2008 – 2009 Campuran atas kanvas. 60 x 78inci

Suhaimi Fadzir dilihat sangat konsisten dengan eksperimentasi objek jumpaan sejak tahun 1980an lagi. Suhaimi konsisten menggunakan media campuran bersama assemblaj objek – objek jumpaan ini. Penggunaan objek jumpaan daripada sisa industri, konstruksi bangunan seperti cermin, zink, besi, wiremesh, pakaian, perspek dan kayu di rencahkan dengan resepi Malaysia bersama kolaj kain batik, surat khabar, kuali dan sebagainya bersama irama sapuan berus ekspresi serta memberi kepelbagaian kesimbangan di antara gestur, jalinan, bentuk dan warna. Mencetuskan seniman yang muncul dengan ekperimentasi yang ekstrim bersama naluri pasca modenis. RFTO Recycle Toy & Found Object Belleville (2010) Suhaimi masih mengekalkan objek jumpaan sebagai subjek dan bahan. Karya RFTO lebih pop dengan assemblaj yang lebih spontan berbeza dari siri Objek (Arcipainting). RFTO ini merupakan pertembungan di antara karya – karya Siri Survivor dan Siri Object. Kepelbagaian objek jumpaan seperti permainan patung seperti Sponge Bob Square Pants, Patrick, Doraemon, Garfied yang mempunyai ciri kelembutan sebagai teman tidur bagi kanak – kanak dengan anyaman bubu ikan daripada rod besi dan objek jumpaan seperti rim basikal,rim motosikal, kereta sorong, wiremesh, lampu belajar, kayu dan besi yang bersifat lebih keras mewujudkan pertembungan kepelbagaian bahan yang memerlukan cabaran untuk menghasilkan sesebuah karya.

Pameran Antara Bahan Campuran (ABC) yang masih berlangsung di BSLN, juga mempamerkan beberapa karya koleksi tetap Negara yang menggunakan objek jumpaan sebagai karya dan tindak balas diantara seniman dengan alam sosiologi. Objek jumpaan merupakan sisa ketamadunan yang perlu dijana dengan baik bagi membantu dunia dalam mengekalkan keharmonian. Para seniman sedikit sebanyak telah mempraktikkan kepenggunaan sumber terbuang ini dengan penghasilan karya – karya seni visual.

Rujukan:
(1)Katalog ROCI 1990
Teks temuramah Suhaimi Fadzir di Facebook
Katalog Piyadasa An Overview, 1962 – 2000
Katalog Suhaimi Fadzir Archipainting Object 1984 – 2008
Katalog Suhaimi Fadzir RFTO 2010,
 Foto Ihsan Suhaimi Fadzir
Foto Ihsan Sulaiman Esa

No comments:

Post a Comment