Thursday 24 February 2011

FAUZUL YUSRI : TERBANG DALAM IMIGINASI

Fauzul terapung dalam ruang atmosfera seninya sendiri, sensitiviti Fauzul gemar pada mengolah satu rupa. Fauzul menarik-narik rupa tersebut, di adun dan di olah menjadi bentuk baru yang subjektif. Emosinya berseronok, bermain dalam dunia imiginasinya sendiri.

Fauzul  nakal di dunia kanak –kanaknya yang lepas, pengalaman lampau sering membuak-buak emosi dalam berimiginasi tentang yang sudah –sudah.

Melakar imejan orang lidi, haiwan dengan ranting kayu pada  pasir dan tanah adalah satu benda yang sangat menarik bagi Fauzul. Menguris –guris ke dada tanah dengan jari atau batu kelikir membentuk satu kesan yang bertekstur, imejan nya hanyalah satu bentuk abstrak. Bagai ayam mencakar tanah, mencari cacing untuk di jamah. Di sini bermulalah pemerhatian Fauzul.

Alam dengan Fauzul sangat rapat, segala pengalaman kecilnya di kampung tetap terselit dalam kotak imiginasi. Imejan dan garisan berterbangan dalam pokok imiginasinya, menunggu masa untuk di petik dalam tanah seni Fauzul.  

Menyusuri alur sungai, seni Abstrak Ekspresionis Fauzul

Fauzul puas bermain dengan tekstur, cakaran, garisan dan warna meriah dalam siri “Cage” ,“ Pop- Primitive” serta “ Neolitik” yang lepas. Bermain dengan tekstur, warna, cakaran dan garisan membentuk seninya. Tekstur yang ekspresif di palit pada kanvas, bentuk-bentuk yang tidak diketahui muncul, imiginasi Fauzul belum puas di tambah dengan garisan yang bengkuk, herot, lurus, kasar, dan halus memenuhi ruang kanvas.


Imejan dari garisan Fauzul, hanya berkisar tentang pengalaman dan imiginasi. Ayam, itik, lembu, kambing, bukit, gunung, basikal dan manusia adalah imejan yang kerap bertahta di kanvasnya. Namun imejan tersebut telah melalui proses distortion atas kekuatan garisan berketar Fauzul. Bentuk imejan yang sempurna mungkin takkan di jumpai dalam seninya, ini kerana sensitiviti Fauzul sering menolak dan menarik lapisan warna, agar lapisan baru menjadi pemisah dan jarak kedalaman imejan.    

Nafas seni Fauzul masih berbau Abstrak Ekspresionis. Twombly dan Kiefer sering menjadi panduan seni Fauzul. Isme yang yang di pelopori oleh Arshile Gorky  ini konsisten terhadap rupa, garisan, warna, tekstur dan bentuk. Ekspresi emosi yang tulen ketika mencatan menjadikan ia satu komunikasi visual. Bukan semua Ab-Ex bergaya ekspresif, ada juga yang spontanius melepaskan kreativiti secara tidak sedar
( unconscious creativity).Kesan yang tidak sengaja ( accident) dan perubahan karya bukanlah satu kesalahan dalam Ab-Ex  kerana ia di anggap proses dan kelebihan kepada pelukis.

Fauzul masih leka mencari, mengorek pengamatan dan menabur pengalamannya dalam siri terbaru ini.

Kanvas bagai satu tembok konkrit keras bagi Fauzul, pelbagai kesan tampalan simen, tekstur kasar, cakaran, dan kesan permukaan terbina atas hasil tangan petukangnya. Fauzul menganggap kanvas nya sebagai tembok keras, di cakarnya dengan berus,
di tampalnya dengan tekstur, di tarahnya dengan scraper, di lemparkan dengan warna dan di contengnya dengan tulisan. Tampak kewujudan cakaran Twombly, catannya yang berkarektor contengan bebas- riang di atas kanvas. Fauzul serba sedikit merasa kehadirannya.

Warna-warni sebelum ini semakin menyuram, kelam, sephia, kelabu dan monokrom. Namun elemen kontras, kadang-kadang di wujudkan. Tak semena muncul warna merah terang menganggu keharmonian wilayah kelabu. Fauzul dilihat cuba mengembalikan “mood” nostalgia kali ini, seperti melihat foto lama berwarna sephia tanpa salutan gelatin yang bersinar. Rekahan dan cakaran lama sebagai kondisi masa.

Garisan bulat di ulang-ulang oleh Fauzul. Sensitivitinya terhadap benda bulat sukar di kekang, seperti bermain gelang getah. Bersifat lembut, bentuknya bulat, warnanya kuning muda, dan mudah lentur. Dari gelang getah berbentuk bulat di tarik dan dilipat menjadi pelbagai bentuk lain. Fauzul berinspirasi dari itu, garisan di pelbagaikan - kecil, besar, kasar, lembut, tebal dan nipis. Semuanya berirama dalam catan Fauzul.

Fauzul makin giat menelaah kelebihan bahan. Kesan lelehan dan tompokan bitumen di tutupi lapisan akrilik, cat minyak dan arang hitam. Penerokaan lakaran dari asas seni (foundation study) untuk melihat kesan dan keputusan.Adunan Fauzul sendiri.

Sapuan berus Fauzul masih aggresif  dan tidak terkawal. Fauzul berlawan dengan emosinya, pertelingkahan komposisi, imejan yang saling berkroni dan berinteraksi serta cakaran kasar mewujudkan tulisan yang mudah dan kadang sukar untuk di takrif maknanya. Fauzul seperti bersiul dengan seloka Melayu, ianya seakan ulangan terhadap perkara lampau. Di catatnya semua pada catannya, sebagai satu pengkongsian pengalaman untuk diri sendiri dan generasi depan.

Kompleks dari pelbagai permasalahan ini, lahirlah catan Fauzul yang terbaru. Biarkan catannya sahaja yang berbicara. 

No comments:

Post a Comment