Thursday 24 February 2011

MONOLOG BAKIR BAHAROM

 Eksplorasi jelaga sebagai media menggantikan arang telah sinonim dengan Bakir Baharom atau lebih dikenali sebagai Kat. Pelukis muda kelahiran Kedah, bekas graduan seni daripada UiTM, Shah Alam ini cuba mencari bahan pengganti kepada media konvensional sebagai permulaan.

Bakir, bermula dengan gurisan plat, mula menghasilkan karya cetakan gurisan sejak di UiTM, pernah memenangi beberapa pertandingan seni visual, antaranya Penang Art Festival 2003, 2004 dan Grand Prize Winner Nokia Upstart 2005.

2005, Bakir mula menyampaikan kaedah cetakan dalam bentuk stencil asap, eksperimen yang di lakukan menggunakan asap rokok sebagai lambang pemberontakan dalam diri untuk menamatkan dunia perokoknya. Imej jantung dan stencil asap di kolaj di atas kanvas menjadi sesuatu karya yang jelas kuat memotivasikan dirinya.

Siri Kepompong Mixed Media/ 40cm x 40cm x192cm/ 2007

2006, Bakir menghasilkan instalasi ”Kepompong”nya yang memancar keterangan malam. Bergayutan di dahan–dahan pokok di taman kecil tepi Gudang (nama sebuah studio artis milik pelukis Hamir Soib, di Damansara) ketika dijemput menjadi artis residensi di situ. Bakir, kini meneruskan kerja-kerja berkaitan dengan kesenian, menghasilkan kerja backdrop berkumpulan, mural, menjadi pembantu teknikal kepada beberapa artis terkenal, pensyarah separuh masa di Aswara selain menjadi artis sepenuh masa.

Dengan sedikit kegilaan dan keghairahan dalam mengeksplorasi jelaga yang diperolehi daripada pelbagai jenis lilin atau pelita minyak tanah dan menghasilkan arang sendiri daripada pembakaran tayar getah kereta. Kini, Bakir telah menjaya menggawal sifat rawak jelaga yang sukar untuk dikendalikan. Secara teknikalnya, Bakir telah mencuba pelbagai permukaan untuk melihat keberkesanan jelaga sebagai media.


The Clouds I, II, III, IV
Jelaga atas bod / 2010 / 29 x 60 cm

2009, Bakir menjadi artis residensi IMCAS (Iskandar Malaysia Contemporary Art Show) dan memenangi MEA Awards (Malaysian Emerging Artist). Kepenggunaan jelaga ini masih diteruskan. Kali ini  Bakir, lebih memfokuskan imej sebagai bentukan daripada olahan jelaganya. Bakir cuba mempotretkan dirinya didalam kerawakan teknik jelaga seolah olah segompolan awan hitam yang berwajah manusia sedang bergerak lembut untuk keluar daripada permukaan kanvas putih.
Lebai Maghrib
Jelaga atas kanvas / 2010 / 153 x 153cm

Berupa Rupa                                                                       
Jelaga dan akrilik atas kanvas / 2010 / 153 x 153 cm

2010, Bakir tampil dengan solo  Monolog’ di Galeri Chandan, Bukit Damansara yang telah berlangsung dari 22 Nov – 6 Disember 2010.

Monolog’ merupakan kebimbangan Bakir tentang kehidupannya yang sering mempersoalkan tentang kekalutan, kebenaran dan kepastian.

Rujukan:
Katalog Artriangle
http://mohdbakir.blogspot.com/

FAUZUL YUSRI : TERBANG DALAM IMIGINASI

Fauzul terapung dalam ruang atmosfera seninya sendiri, sensitiviti Fauzul gemar pada mengolah satu rupa. Fauzul menarik-narik rupa tersebut, di adun dan di olah menjadi bentuk baru yang subjektif. Emosinya berseronok, bermain dalam dunia imiginasinya sendiri.

Fauzul  nakal di dunia kanak –kanaknya yang lepas, pengalaman lampau sering membuak-buak emosi dalam berimiginasi tentang yang sudah –sudah.

Melakar imejan orang lidi, haiwan dengan ranting kayu pada  pasir dan tanah adalah satu benda yang sangat menarik bagi Fauzul. Menguris –guris ke dada tanah dengan jari atau batu kelikir membentuk satu kesan yang bertekstur, imejan nya hanyalah satu bentuk abstrak. Bagai ayam mencakar tanah, mencari cacing untuk di jamah. Di sini bermulalah pemerhatian Fauzul.

Alam dengan Fauzul sangat rapat, segala pengalaman kecilnya di kampung tetap terselit dalam kotak imiginasi. Imejan dan garisan berterbangan dalam pokok imiginasinya, menunggu masa untuk di petik dalam tanah seni Fauzul.  

Menyusuri alur sungai, seni Abstrak Ekspresionis Fauzul

Fauzul puas bermain dengan tekstur, cakaran, garisan dan warna meriah dalam siri “Cage” ,“ Pop- Primitive” serta “ Neolitik” yang lepas. Bermain dengan tekstur, warna, cakaran dan garisan membentuk seninya. Tekstur yang ekspresif di palit pada kanvas, bentuk-bentuk yang tidak diketahui muncul, imiginasi Fauzul belum puas di tambah dengan garisan yang bengkuk, herot, lurus, kasar, dan halus memenuhi ruang kanvas.


Imejan dari garisan Fauzul, hanya berkisar tentang pengalaman dan imiginasi. Ayam, itik, lembu, kambing, bukit, gunung, basikal dan manusia adalah imejan yang kerap bertahta di kanvasnya. Namun imejan tersebut telah melalui proses distortion atas kekuatan garisan berketar Fauzul. Bentuk imejan yang sempurna mungkin takkan di jumpai dalam seninya, ini kerana sensitiviti Fauzul sering menolak dan menarik lapisan warna, agar lapisan baru menjadi pemisah dan jarak kedalaman imejan.    

Nafas seni Fauzul masih berbau Abstrak Ekspresionis. Twombly dan Kiefer sering menjadi panduan seni Fauzul. Isme yang yang di pelopori oleh Arshile Gorky  ini konsisten terhadap rupa, garisan, warna, tekstur dan bentuk. Ekspresi emosi yang tulen ketika mencatan menjadikan ia satu komunikasi visual. Bukan semua Ab-Ex bergaya ekspresif, ada juga yang spontanius melepaskan kreativiti secara tidak sedar
( unconscious creativity).Kesan yang tidak sengaja ( accident) dan perubahan karya bukanlah satu kesalahan dalam Ab-Ex  kerana ia di anggap proses dan kelebihan kepada pelukis.

Fauzul masih leka mencari, mengorek pengamatan dan menabur pengalamannya dalam siri terbaru ini.

Kanvas bagai satu tembok konkrit keras bagi Fauzul, pelbagai kesan tampalan simen, tekstur kasar, cakaran, dan kesan permukaan terbina atas hasil tangan petukangnya. Fauzul menganggap kanvas nya sebagai tembok keras, di cakarnya dengan berus,
di tampalnya dengan tekstur, di tarahnya dengan scraper, di lemparkan dengan warna dan di contengnya dengan tulisan. Tampak kewujudan cakaran Twombly, catannya yang berkarektor contengan bebas- riang di atas kanvas. Fauzul serba sedikit merasa kehadirannya.

Warna-warni sebelum ini semakin menyuram, kelam, sephia, kelabu dan monokrom. Namun elemen kontras, kadang-kadang di wujudkan. Tak semena muncul warna merah terang menganggu keharmonian wilayah kelabu. Fauzul dilihat cuba mengembalikan “mood” nostalgia kali ini, seperti melihat foto lama berwarna sephia tanpa salutan gelatin yang bersinar. Rekahan dan cakaran lama sebagai kondisi masa.

Garisan bulat di ulang-ulang oleh Fauzul. Sensitivitinya terhadap benda bulat sukar di kekang, seperti bermain gelang getah. Bersifat lembut, bentuknya bulat, warnanya kuning muda, dan mudah lentur. Dari gelang getah berbentuk bulat di tarik dan dilipat menjadi pelbagai bentuk lain. Fauzul berinspirasi dari itu, garisan di pelbagaikan - kecil, besar, kasar, lembut, tebal dan nipis. Semuanya berirama dalam catan Fauzul.

Fauzul makin giat menelaah kelebihan bahan. Kesan lelehan dan tompokan bitumen di tutupi lapisan akrilik, cat minyak dan arang hitam. Penerokaan lakaran dari asas seni (foundation study) untuk melihat kesan dan keputusan.Adunan Fauzul sendiri.

Sapuan berus Fauzul masih aggresif  dan tidak terkawal. Fauzul berlawan dengan emosinya, pertelingkahan komposisi, imejan yang saling berkroni dan berinteraksi serta cakaran kasar mewujudkan tulisan yang mudah dan kadang sukar untuk di takrif maknanya. Fauzul seperti bersiul dengan seloka Melayu, ianya seakan ulangan terhadap perkara lampau. Di catatnya semua pada catannya, sebagai satu pengkongsian pengalaman untuk diri sendiri dan generasi depan.

Kompleks dari pelbagai permasalahan ini, lahirlah catan Fauzul yang terbaru. Biarkan catannya sahaja yang berbicara. 

GAYA.MUTU.KEPALSUAN

Gaya – identiti – sampai Mati.

Adakah gaya atau stail diukur sebagai sebuah identiti? Ya atau Tidak? Dan peminat peminat seni sudah masak dan memahami akan gaya seorang artis yang bergaya. Dari warna yang digunapakai,  sapuan berus yang berirama, lelehan warna yang tak terkawal, ukiran kayu yang halus, kimpalan besi yang hebat, komposisi yang tersusun, kolaj yang menebal, asemblaj yang terkeluar dsb.
   
Gaya menjadi identiti seseorang, samada dalam mencatan atau semua aktiviti kesenian visualnya.

Persoalan identiti ini sudah saban tahun diperkatakan dikalangan KITA-KITA, sampai kadang kadang naik muak juga bila tersangkut dengan persoalan sebegini. Mencari identiti sendiri? Persoalan tentang keaslian dan ketulenan karya di perkatakan. Mungkin disini lahirnya Pelukis – pelukis palsu..mungkin. Apakah yang dikatakan Palsu itu?

Begitu subjektif untuk memperakui ketulenan karya sebenarnya, mungkin ruang seni di Malaysia ini masih baru. Baru 54Tahun, Merdeka.

RUANG UNTUK YANG BARU

Bunyinya seakan harapan, seakan simpati untuk yang Baru. Kesesakan ruang yang sempit mempengaruhi emosi dan persekitaran. Keselesaan ruang yang luas membangkit semangat juang yang tinggi, memuncak utiliti.Yang Baru di sini merujuk kepada sesiapa sahaja individu yang mungkin baru dalam sesuatu bidang, peluang, karier dan kehidupan. Semuanya masih perlu di bekalkan, di susukan, di buaikan, di tidurkan dan di layankan?

Adakah ruang itu menerima kehadiran yang Baru ? Persekitaran dan atmosferanya perlulah mengambil masa untuk Yang Baru menghirup oksigen yang ada dalam ruangan itu.

Yang Baru sebagai Pelukis, Yang Baru sebagai Kurator, Yang Baru sebagai Kontraktor, Yang Baru sebagai Doktor, Yang Baru sebagai Kondaktor, Yang Baru sebagai Cleaner, Yang Baru sebagai Remoter atau apa –apa saja. Penyesuaian diri perlu, bak kata orang – Kalau sesumpah berlindung di daun jadi warna hijau, berpaut pada batang jadi warna coklat.

Di sini, kelihatan yang Baru perlukan Ruang? Perspektif penulis dari dunia seni tampak, yang baru hendak menapak, terus ke sana ke sini dengan proposal seni nya. Menonjolkan rupa, memperlihatkan diri, berkomunikasi, bereaksi, beremosi untuk kesempatan ruang di masa depan..yang mungkin baik, yang mungkin belum tentu.

Ruang untuk menghasilkan karya seni itu sendiri banyak, atau lebih mudah intipatinya kita sendiri yang hasilkan. Tanpa perlu pergantungan, tanpa perlu sekatan, tanpa perlu di cas apa-apa. Jika yang baru grad itu, mungkin ruang sangat perlu. Bukan sebagai alasan ruang tiada, untuk berkarya..tapi ia sebagai semangat.

Ramai pelukis muda yang mampu untuk menyewa rumah kedai, teres atau flat sebagai satu padang kesenian mereka, segala aktiviti mencatan di raikan sendiri dengan ekspresi ala –ala Jackie Chan, mungkin..! Namun ruang yang ada bukan semua mampu menampung bebanan idea yang mungkin memerlukan keluasan ruang untuk kesempurnaan idea..

Permasalahan ruang ini boleh melarat kepada permasalahan saiz karya. Jika ruang besar, mungkin karya nya besar dan sebaliknya. Ruang bonet kereta juga sering menjadi saiz maksima karya bagi pelukis, mudah tidak payah untuk menyewa lori lagi. Ruang bilik tidur yang sempit, di jadikan mini studio. Manalah tahu! dari kesempitan ruang lahir satu karya sejarah negara. Mungkin.

Ruang untuk berpameran, bagi yang Lama tidak sukar kerana mereka sudah berNAMA tak perlu berproposal. Ruangan susah mereka sudah pergi, yang tersisa hanya nama penentu sebuah harga. Jurang antara yang baru dan layanan untuk yang Lama sangat berbeza, dalam sesetengah situasi. Adakah kelompok seni di sini, di ukur berdasarkan senioriti, identiti, dan publisiti?
Bagi yang Baru usaha itu kena lebih banyak dan perlu mengejar masa, mengejar galeri, mengejar kurator, mengejar dennis atau maria (kenken frame shop), mengejar kolektor..berlari-lari..bertahun-tahun.

Ruang ruang seni yang berbayar sudah ada, sewa untuk berpameran, menyewa untuk jadi pelukis..jadi bagi yang Baru perlu mengikut kehendak sendiri atau kehendak kontemporari? Semua nya pilihan samada mahu melabel diri atau melobi galeri. Jika mahu ruang yang free tapi perlu di potong 40% atau 50% daripada jualan karya atau mahu berpameran yang tiada padestal dan tiada berdinding? Seperti Akal di Ulu. Wujudkan ruang sendiri, beranikan menolak format bergaleri, cuba bergaya kontemporari dengan sejarah sendiri. Majulah Seni Untuk Negara!

Jadi yang Baru tu pandai-pandailah memikirkan permasalahan ruang, tapi jangan sampai ruang yang di risaukan, apa yang di angankan hanya omong-omong kosong, berkhayal sebagai pelukis terkenal dalam tidur siang nya sahaja.Bangunlah Mat Jenin oit!!