Showing posts with label ARTICLE. Show all posts
Showing posts with label ARTICLE. Show all posts

Sunday, 17 July 2011

OBJEK JUMPAAN DALAM SENI VISUAL



 Kesan pembangunan ekonomi dan kebudayaan di seluruh dunia meningkatkan taraf hidup sosial sesuatu masyarakat. Wujud pelbagai kesan dan impak terhadap persekitaran bila pembangunan ekonomi di selaraskan ke taraf negara maju. Laungan kempen “Recycle” atau guna semula telah lama dipraktiskan di negara maju dan negara yang sedang membangun termasuk Malaysia. Sebagai tidak membazirkan lebihan sampah yang masih boleh di guna pakai atau di kitar semula, pertumbuhan pesat industri kecil yang mengusahakan produk kitar semula atau perusahaan kitar semula sebagai membantu usaha kerajaan.

Seniman seni visual juga tidak terlepas dalam membantu menghasilkan produk atau pun karya seni daripada sampah sarap ini. Objek jumpaan (found object) merupakan bahan mentah hasil pembuangan sampah sarap bukan domestik yang digunapakai oleh penggamal seni samaada di Malaysia dan luar Negara.
Objek jumpaan (Found Object ) telah digunakan oleh seniman sejak abad ke- 20. Sebagai konsekuensi dari pemikiran inovatif oleh Kurt Schwitters, Pablo Picasso, Marcel Duchamp, Robert Rauschenberg dan lain-lain. Konsep objek jumpaan menjadi saksi sejarah seni visual yang menjadi satu media perdana di Eropah dan Amerika sebagai ekspresi artistik. Objek jumpaan ini juga turut menarik seniman kontemporari seperti Carl Andre, Tony Cragg, Bill Woodrow, Sarah Lucas, Michael Landy,Vik Muniz,  Damiens Hirst, Tracey Emin (sekadar menyebut beberapa nama sahaja) menghasilkan karya.
Selain Marcel Duchamp dengan karya agungnya “ Fountain” 1917  sebuah objek jumpaan atau “ready made”(ceramic urinal) yang memberi pengertian baru oleh seniman Dadaism ini. 
Robert Rauschenberg juga seorang seniman perintis bergaya baru awal tahun 50an. Istilah seni “ Combines” dengan cantuman pelbagai pendekatan teknik seperti catan, lukisan, cetakan, foto, video, bunyi, kolaj dan assemblaj di kombinasikan dengan sempurna menjadi hasil karya yang meliputi makna-makna kehidupan bagi pelukis.
Seniman di Malaysia juga terkesan menggunakan objek jumpaan seawal 1960an. Jika di lihat perkembangan seni lukis di Malaysia, telah melahirkan ramai di antara penggamal seni visual yang terdorong untuk menggunakan objek jumpaan ini sebagai sebahagian daripada karya. Berkemungkinan ianya juga, adalah didikan daripada instituisi pendidikan seni yang memberi ruang kebebasan berkarya dalam memilih bahan sebagai karya akhir. Subjek bahan campuran yang tidak konvensional memberikan mereka berekplorasi bersama bahan baru atau objek jumpaan. Penerokaan bahan baru di dalam karya mahupun penerimaan yang baik di dalam pertandingan seni seperti Bakat Muda Sezaman, Philip Morris, Salon Malaysia ataupun pertandingan di peringkat negeri. Karya seni yang menggunakan bahan campuran ini mula mendapat tempat di kalangan penggamal seni visual sebagai metode baru. 

Antara seniman Malaysia yang begitu lantang melaungkan konsep objek sebagai karya seni adalah Allahyarham Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa dengan keberanian Manifesto Towards a Mystical Reality (1974). Duo ini telah memberi impak besar dalam perkembangan seni lukis moden Malaysia sehingga mencetuskan perdebatan sezaman. Objek jumpaan seperti pasu bunga, dua botol Coca Cola, baju hujan, rambut manusia, sangkar burung, kerusi, tin cat dan palet, kanvas kosong, bekas dan abu ubat nyamuk.

Pertandingan seni visual juga sebagai satu peluang bagi seniman bereksperimatasi dan mencari peluang untuk menghasilkan karya menggunakan objek jumpaan. Pertandingan dan Pameran Manusia dan Alamnya (1973) yang di anjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara telah menyaksikan seniman menggunakan objek jumpaan sebagai subjek dan bahan. Karya “ Man and His World”  oleh Sulaiman Esa dan karya “Statement 1 “oleh Nirmala Shamughalingam telah berjaya memenangi beberapa hadiah utama dan hadiah kecil.
Karya Sulaiman EsaMan and His World” 1972-73 merupakan karya konseptual yang mencipta sejarahnya sendiri. Persoalan tentang siapa Sulaiman mampu di ungkap daripada dapatan memahami setiap bahan sisa buangan urban (found object) seperti tiket bas, surat, nota, buku, sijil akademik, sijil kelahiran, passport, foto, sejadah, baju,tali leher dan kasut yang dihimpunkan menjadi sebuah karya ‘self portrait’ yang bukan konvensional. Setiap bahan memberi pelbagai makna dalam kehidupan Sulaiman yang mengheret masyarakat memahami konflik identiti dan spiritual.  Setiap objek ini boleh diperluaskan makna nya oleh penyelidik melalui kajian akedemik jika dilihat dari pelbagai perspektif.  

Nirmala Shanmughalingam pula membina sebuah karya bersifat konseptual dimana merekod dan mendokumentasikan pencemaran alam sekitar dengan lensa kemera dan keratan surat khabar yang memaparkan kesan dan lokasi pencemaran. Sampah telah menjadi subjek didalam menyampaikan komentar sosial melalui seni visual.


Selain mereka, Suhaimi Fadzir, Ahmad Shukri Mohamed, Noor Azizan Rahman Paiman, Raja Shahriman, Vong Nyam Chee (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi.  


Suhaimi Fadzir Banana Republic 2008 – 2009 Campuran atas kanvas. 60 x 78inci

Suhaimi Fadzir dilihat sangat konsisten dengan eksperimentasi objek jumpaan sejak tahun 1980an lagi. Suhaimi konsisten menggunakan media campuran bersama assemblaj objek – objek jumpaan ini. Penggunaan objek jumpaan daripada sisa industri, konstruksi bangunan seperti cermin, zink, besi, wiremesh, pakaian, perspek dan kayu di rencahkan dengan resepi Malaysia bersama kolaj kain batik, surat khabar, kuali dan sebagainya bersama irama sapuan berus ekspresi serta memberi kepelbagaian kesimbangan di antara gestur, jalinan, bentuk dan warna. Mencetuskan seniman yang muncul dengan ekperimentasi yang ekstrim bersama naluri pasca modenis. RFTO Recycle Toy & Found Object Belleville (2010) Suhaimi masih mengekalkan objek jumpaan sebagai subjek dan bahan. Karya RFTO lebih pop dengan assemblaj yang lebih spontan berbeza dari siri Objek (Arcipainting). RFTO ini merupakan pertembungan di antara karya – karya Siri Survivor dan Siri Object. Kepelbagaian objek jumpaan seperti permainan patung seperti Sponge Bob Square Pants, Patrick, Doraemon, Garfied yang mempunyai ciri kelembutan sebagai teman tidur bagi kanak – kanak dengan anyaman bubu ikan daripada rod besi dan objek jumpaan seperti rim basikal,rim motosikal, kereta sorong, wiremesh, lampu belajar, kayu dan besi yang bersifat lebih keras mewujudkan pertembungan kepelbagaian bahan yang memerlukan cabaran untuk menghasilkan sesebuah karya.

Pameran Antara Bahan Campuran (ABC) yang masih berlangsung di BSLN, juga mempamerkan beberapa karya koleksi tetap Negara yang menggunakan objek jumpaan sebagai karya dan tindak balas diantara seniman dengan alam sosiologi. Objek jumpaan merupakan sisa ketamadunan yang perlu dijana dengan baik bagi membantu dunia dalam mengekalkan keharmonian. Para seniman sedikit sebanyak telah mempraktikkan kepenggunaan sumber terbuang ini dengan penghasilan karya – karya seni visual.

Rujukan:
(1)Katalog ROCI 1990
Teks temuramah Suhaimi Fadzir di Facebook
Katalog Piyadasa An Overview, 1962 – 2000
Katalog Suhaimi Fadzir Archipainting Object 1984 – 2008
Katalog Suhaimi Fadzir RFTO 2010,
 Foto Ihsan Suhaimi Fadzir
Foto Ihsan Sulaiman Esa

Wednesday, 16 March 2011

CIGONDEWAH: AN ART PROJECT BY TISNA SANJAYA

Tisna Sanjaya
Pameran Cigondewah: An Art Project yang sedang berlangsung di NUS Museum dari 18 Feb hingga 24 April 2011 ini memperlihat proses pengkaryaan oleh Tisna Sanjaya. Melihat seni bukan hanya dihayati di ruangan galeri sahaja, usaha membawanya keluar ke ruang yang lebih dekat dengan masyarakat memberi makna besar pada Tisna. Cigondewah merupakan desanya ketika kecil, mungkin memori keindahan secara personal mengheretnya untuk kembali berbudi pada Cigondewah. Tisna membeli tanah di Cigondewah pada tahun 2007, Tisna mula membina ruang untuk masyarakat berbudaya di ruangnya yang dinamakan Pusat Kebudayaan. Pelbagai aktiviti kebudayaan berlangsung di situ samada berpencak silat, beradu burung, menanam pepohon hijau, majlis keraian dan sebagainya. Tisna memberi nafas baru pada Cigondewah yang sedang sarat dengan konfliks ekonomi dan politik. 





Cigondewah sebuah desa kecil di selatan Bandung, Indonesia. Pertumbuhan kawasan bandar, perluasan industri, dan kesannya terhadap persekitaran adalah pengalaman umum yang sering dihadapi oleh masyarakat desa kecil pinggiran bandar termasuk Cigondewah. Mendasari kompleksiti ini adalah peranan seniman dalam mempertahankan suatu amalan yang dibenamkan ke dalam potensi dan suatu keadaan yang sukar untuk masyarakat; ekologi ekonomi dan politik yang menyekat, memediasi atau mengaktifkan tindakan, soalan lembaga komunal dan tujuan artistik, dan tempat pasaran dalam tujuan sosial pragmatik.

Diantara instalasi Tisna Sanjaya untuk pameran Cigondewah
Cigondewah: an art project sebagai seniman bukan hanya menghasilkan karya di studio sebagai praktis kesenian tetapi adalah lebih penting jika kesenian tersebut dikembalikan kepada jiwa jiwa masyarakat. ‘Ci’ di awal nama Cigondewah bermaksud “Air” dalam bahasa Sunda, dimana bentuk georafi di selatan Bandung ini di ruangi sungai sungai yang indah. Namun diatas sistem kapitalis yang menerajui ekonomi, sungai – sungai ini telah dibazirkan kegunaan asalnya dari bersifat domestik kepada pembuangan sumber. Sungai – sungai di Cigondewah  kini berbeza intipatinya dari berwarna jernih bertukar menjadi warna –warna  yang mengingatkan catan moi indie seperti kuning,hijau, merah, coklat dan kadang menjadi hitam bergantung kepada debit beracun dari pabrik/ kilang yang menjadi sumber ekonomi masyarakat di Cigondewah.

Sebagai seniman, Tisna merasakan tiada ketidakadilan, ada hukum yang perlu di tegakkan. Seniman, politik, ekonomi dan agama perlu seimbang didalam membentuk masyarakat urban tanpa perlu merobohkan persekitaran lama. Tisna membawa pelbagai plastik gula gula atau ‘jajan’ berbeza dari segi bentuk, saiz, warna, dan produk memenuhi ruang pameran NUS, sementara di atasnya di gantung sangkar burung. Kehadiran plastik dan sangkar burung ini representasi kepada zahir Cigondewah dimana plastik merupakan punca kemusnahan hasil daripada kekayaan ekonomi dan sangkar burung sebagai representasi kebudayaan Cigondewah. Dimana kaum lelaki Cigondewah selalu beradu burung. Mungkin mereka juga ‘berharap’ manatahu suatu hari nanti dapat membeli tanah di Cigondewah? Lalu membina dunia yang mereka harapkan.  

Terjana industri kecil di Cigondewah, dimana buangan plastik di kitar, dimasak menjadi “dodol plastik” yang memberi pendapatan bagi sebilangan penduduk desa. Biarpun keadaan menyesakkan di ruangan persekitaran namun masyarakat di Cigondewah, mencari peluang rezeki dengan penghasilan “biji – biji plastik” yang di import ke negara – negara maju. Aktiviti membasuh plastik dengan bahan berasid menjadi aktiviti harian di sungai Cigondewah namun disitulah ruang anak anak kecil membina ruang keseronokan dengan bermandian sungai dan bermain. Dimanakah fungsi politisi dalam menyedari hakikat masyarakat?

Tisna sebagai Kabayan menerusi tv Bandung
Berlaku pertembungan ideologi disini, apabila Tisna datang dan membina pusat kebudayaan. Ada masyarakat kurang memahami aktiviti seniman, sentiasa ada arahan yang patut di patuhi namun ianya adalah satu makna yang baik bagi Tisna memahami masyarakat dan menyedari dimana peranannya. Biarpun usaha Tisna itu di lihat melebihi watak seorang politisi yang mampu mengubah keadaan masyarakat.

Tisna sebagai wira rakyat menerusi siri t.v di Bandung iaitu program Kabayan Nyintreuk. Kabayan merupakan tokoh imajinatif dari budaya Sunda yang juga telah menjadi tokoh imajinatif masyarakat umum di Indonesia. Melalui Kabayan, Tisna menjadi wira rakyat yang memaparkan kisah kisah kemasyarakatan. Apakah bentuk, kehendak dan daya masyarakat yang terdorong dan terhimpit oleh pembangunan ekonomi. Ia seperti membawa suara rakyat.

Cigondewah: An Art Project sebuah percaturan Tisna Sanjaya memahami masyarakat melalui kesenian. Ketidak adilan akan terus berlangsung jika kesedaran bersama tidak saling memahami.

Thursday, 24 February 2011

GAYA.MUTU.KEPALSUAN

Gaya – identiti – sampai Mati.

Adakah gaya atau stail diukur sebagai sebuah identiti? Ya atau Tidak? Dan peminat peminat seni sudah masak dan memahami akan gaya seorang artis yang bergaya. Dari warna yang digunapakai,  sapuan berus yang berirama, lelehan warna yang tak terkawal, ukiran kayu yang halus, kimpalan besi yang hebat, komposisi yang tersusun, kolaj yang menebal, asemblaj yang terkeluar dsb.
   
Gaya menjadi identiti seseorang, samada dalam mencatan atau semua aktiviti kesenian visualnya.

Persoalan identiti ini sudah saban tahun diperkatakan dikalangan KITA-KITA, sampai kadang kadang naik muak juga bila tersangkut dengan persoalan sebegini. Mencari identiti sendiri? Persoalan tentang keaslian dan ketulenan karya di perkatakan. Mungkin disini lahirnya Pelukis – pelukis palsu..mungkin. Apakah yang dikatakan Palsu itu?

Begitu subjektif untuk memperakui ketulenan karya sebenarnya, mungkin ruang seni di Malaysia ini masih baru. Baru 54Tahun, Merdeka.

RUANG UNTUK YANG BARU

Bunyinya seakan harapan, seakan simpati untuk yang Baru. Kesesakan ruang yang sempit mempengaruhi emosi dan persekitaran. Keselesaan ruang yang luas membangkit semangat juang yang tinggi, memuncak utiliti.Yang Baru di sini merujuk kepada sesiapa sahaja individu yang mungkin baru dalam sesuatu bidang, peluang, karier dan kehidupan. Semuanya masih perlu di bekalkan, di susukan, di buaikan, di tidurkan dan di layankan?

Adakah ruang itu menerima kehadiran yang Baru ? Persekitaran dan atmosferanya perlulah mengambil masa untuk Yang Baru menghirup oksigen yang ada dalam ruangan itu.

Yang Baru sebagai Pelukis, Yang Baru sebagai Kurator, Yang Baru sebagai Kontraktor, Yang Baru sebagai Doktor, Yang Baru sebagai Kondaktor, Yang Baru sebagai Cleaner, Yang Baru sebagai Remoter atau apa –apa saja. Penyesuaian diri perlu, bak kata orang – Kalau sesumpah berlindung di daun jadi warna hijau, berpaut pada batang jadi warna coklat.

Di sini, kelihatan yang Baru perlukan Ruang? Perspektif penulis dari dunia seni tampak, yang baru hendak menapak, terus ke sana ke sini dengan proposal seni nya. Menonjolkan rupa, memperlihatkan diri, berkomunikasi, bereaksi, beremosi untuk kesempatan ruang di masa depan..yang mungkin baik, yang mungkin belum tentu.

Ruang untuk menghasilkan karya seni itu sendiri banyak, atau lebih mudah intipatinya kita sendiri yang hasilkan. Tanpa perlu pergantungan, tanpa perlu sekatan, tanpa perlu di cas apa-apa. Jika yang baru grad itu, mungkin ruang sangat perlu. Bukan sebagai alasan ruang tiada, untuk berkarya..tapi ia sebagai semangat.

Ramai pelukis muda yang mampu untuk menyewa rumah kedai, teres atau flat sebagai satu padang kesenian mereka, segala aktiviti mencatan di raikan sendiri dengan ekspresi ala –ala Jackie Chan, mungkin..! Namun ruang yang ada bukan semua mampu menampung bebanan idea yang mungkin memerlukan keluasan ruang untuk kesempurnaan idea..

Permasalahan ruang ini boleh melarat kepada permasalahan saiz karya. Jika ruang besar, mungkin karya nya besar dan sebaliknya. Ruang bonet kereta juga sering menjadi saiz maksima karya bagi pelukis, mudah tidak payah untuk menyewa lori lagi. Ruang bilik tidur yang sempit, di jadikan mini studio. Manalah tahu! dari kesempitan ruang lahir satu karya sejarah negara. Mungkin.

Ruang untuk berpameran, bagi yang Lama tidak sukar kerana mereka sudah berNAMA tak perlu berproposal. Ruangan susah mereka sudah pergi, yang tersisa hanya nama penentu sebuah harga. Jurang antara yang baru dan layanan untuk yang Lama sangat berbeza, dalam sesetengah situasi. Adakah kelompok seni di sini, di ukur berdasarkan senioriti, identiti, dan publisiti?
Bagi yang Baru usaha itu kena lebih banyak dan perlu mengejar masa, mengejar galeri, mengejar kurator, mengejar dennis atau maria (kenken frame shop), mengejar kolektor..berlari-lari..bertahun-tahun.

Ruang ruang seni yang berbayar sudah ada, sewa untuk berpameran, menyewa untuk jadi pelukis..jadi bagi yang Baru perlu mengikut kehendak sendiri atau kehendak kontemporari? Semua nya pilihan samada mahu melabel diri atau melobi galeri. Jika mahu ruang yang free tapi perlu di potong 40% atau 50% daripada jualan karya atau mahu berpameran yang tiada padestal dan tiada berdinding? Seperti Akal di Ulu. Wujudkan ruang sendiri, beranikan menolak format bergaleri, cuba bergaya kontemporari dengan sejarah sendiri. Majulah Seni Untuk Negara!

Jadi yang Baru tu pandai-pandailah memikirkan permasalahan ruang, tapi jangan sampai ruang yang di risaukan, apa yang di angankan hanya omong-omong kosong, berkhayal sebagai pelukis terkenal dalam tidur siang nya sahaja.Bangunlah Mat Jenin oit!!